29 Mac 2011

Hatinya Berbunga

Pada suatu hari, Ramli datang kepadaku, mengadu setiap kali bertemu dengan Watie, dadanya bergolak, jantungnya berdebar kencang. Aku menasihatinya jika berjumpa dengan Watie lagi cubalah bertegur dengannya.

Keesokannya, Ramli datang lagi kepadaku mengadu, dia terjumpa Watie pagi tadi lalu menegurnya seperti yang disarankan dan apa yang keluar dari mulutnya adalah ini. Dia menghulurkan sekuntum bunga yang mekar. Aku tersenyum lalu membelah dadanya dan melihat hatinya yang penuh dengan bunga. Tidak hairanlah jika ia terkeluar ketika berkata-kata. Aku mengeluarkannya dan menasihati Ramli supaya memberi hati yang berbunga ini kepada Watie.

Esoknya, Ramli berjumpa Watie, dengan penuh rasa malu yang tersipu-sipu, Ramli memberikan hatinya yang berbunga mekar indah itu kepada Watie. Watie tergamam tersipu-sipu lalu tersenyum dan membuka beg kuliahnya mengeluarkan sejambak bunga. Ah... bukan. Itu juga hati yang sedang berbunga. Mereka sama-sama bertukar hati. Indah sungguh saat itu.

Dan selepas itu, Ramli tidak lagi datang kepadaku. Tidak pernah menjengukku pun. Ah.. aku tak kisah. Aku pun bukannya seorang manusia. Aku hanyalah fikiran positif Ramli. Mungkin sekarang dia mempunyai sesuatu yang lebih baik dari aku.=)

Tiada ulasan:

dana kakiterbang