29 Mac 2011

Hatinya Berbunga

Pada suatu hari, Ramli datang kepadaku, mengadu setiap kali bertemu dengan Watie, dadanya bergolak, jantungnya berdebar kencang. Aku menasihatinya jika berjumpa dengan Watie lagi cubalah bertegur dengannya.

Keesokannya, Ramli datang lagi kepadaku mengadu, dia terjumpa Watie pagi tadi lalu menegurnya seperti yang disarankan dan apa yang keluar dari mulutnya adalah ini. Dia menghulurkan sekuntum bunga yang mekar. Aku tersenyum lalu membelah dadanya dan melihat hatinya yang penuh dengan bunga. Tidak hairanlah jika ia terkeluar ketika berkata-kata. Aku mengeluarkannya dan menasihati Ramli supaya memberi hati yang berbunga ini kepada Watie.

Esoknya, Ramli berjumpa Watie, dengan penuh rasa malu yang tersipu-sipu, Ramli memberikan hatinya yang berbunga mekar indah itu kepada Watie. Watie tergamam tersipu-sipu lalu tersenyum dan membuka beg kuliahnya mengeluarkan sejambak bunga. Ah... bukan. Itu juga hati yang sedang berbunga. Mereka sama-sama bertukar hati. Indah sungguh saat itu.

Dan selepas itu, Ramli tidak lagi datang kepadaku. Tidak pernah menjengukku pun. Ah.. aku tak kisah. Aku pun bukannya seorang manusia. Aku hanyalah fikiran positif Ramli. Mungkin sekarang dia mempunyai sesuatu yang lebih baik dari aku.=)

15 Mac 2011

Sayang

Sayang berjalan di ibukota ingin berjumpa Rindu. Rindu sangat merindui Sayang. Tapi pada masa itu, Rindu tidak berada di ibukota, dia di luar bandar. Sayang masih merindu. Sayangnya Rindu dikhianati oleh Cinta yang bertemu Sayang di ibukota berkata Cinta menyayangi Sayang. Sayang serba salah. Dia masih berindu dan akhirnya dia bercinta dengan Cinta, di ibukota.

Sebulan kemudian, Benci datang mengacau hubungan Sayang dan Cinta. Benci mengarahkan Khianat dan Dengki mengacau mereka sehingga Sayang benci akan Cinta. Sekarang Benci cuba memikat Sayang tapi sayang, Sayang tiada di ibukota lagi, balik ke luar bandar ingin bertemu dengan Rindu kerana benci akan Benci dan Cintanya di ibukota.

Setibanya di luar bandar. Rindu sudah berkubur kerana terlalu merindu. Sayang, sekali dia kecewa, hilang tempat dan arah. Sayang seribu kali sayang. Sayang duduk menunggu Rindu di tepi jalan sambil bersiul lagu 'Ibukota Cinta'.

dana kakiterbang